Anggota bomba mencari mangsa yang terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras. FOTO ihsan Bomba
Saipul Adli Mohamad
saipuladli@hmetro.com.my

LELAKI dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang bersama motosikalnya di Jalan Tun Sardon menghala ke Relau, Balik Pulau, 9.50 malam semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan dan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.03 malam sebelum jentera dan tujuh anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau tiba di tempat kejadian jam 10.21 malam.

Beliau berkata, pemanggil memaklumkan seorang mangsaterjatuh ke dalam longkang bersama motosikalnya dan dibawa oleh arus deras.

"Mangsa tidak dapat menyelamatkan diri dan hilang dibawa arus akibat hujan lebat.

"Pada jam 11.15 malam, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui motosikal jenis SYM bernombor pendaftaran PKA 520 milik mangsatersangkut pada penutup longkang.

"Pencarian diteruskan dengan mengikut aliran arus pada jarak 500 meter dan didapati longkang itu bersambung dengan sungai berbatu dan berarus deras," katanya.

Beliau berkata, sehingga jam 1 pagi ini, operasi SAR diteruskan dengan membuat pencarian di permukaan air di kawasan sungai.

Menurutnya, Pos Kawalan Bomba (PKB) dibuka di kawasan sungai untuk melancarkan operasi SAR.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 2:52 AM