AHLI keluarga Zakaria menunjukkan gambar arwah yang maut selepas terjatuh dari pokok bachang di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh, Kubang Kerian semalam.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


PENEBANG pokok maut selepas terjatuh daripada pokok bacang di Kubang Kerian, Kota Bharu 12.30 tengah hari, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Zakaria Jusoh, 66, atau lebih dikenali Pok Ya Rambo terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter.

Mangsa kemudian meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), 5.40 petang hari sama akibat parah di kepala.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh jam 10.30 pagi tadi.

Pok Ya Rambo cukup dikenali di kalangan penyokong bola sepak Kelantan apabila pernah bernazar mahu berlari dari Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur ke Kota Bharu, jika Kelantan menjulang Piala FA pada perlawanan akhir menentang Singapura pada 2015.

Bagaimanapun hajat itu tidak kesampaian apabila Kelantan tewas 1-3.

Anak saudara mangsa, Syamsuri Mustafa, 40, berkata, kejadian berlaku ketika arwah sedang menebang pokok dibantu sepupunya Muhamad Azfar Wan Zakaria, 15.

“Saya turut berada di lokasi kejadian. Selepas hampir tiga jam berada di atas pokok, saya kemudian turun sementara Pok Ya masih berada di atas pokok untuk menyiapkan kerja.

"Ketika sedang berbual dengan tuan rumah, saya dikejutkan dengan jeritan Pok Ya yang menyebut Allah berulang kali. Saya sempat melihat arwah terjatuh dari pokok sebelum kepalanya terhantuk pada pagar rumah,” katanya.

Dia berkata, arwah yang dihantar ke hospital bagaimanapun disahkan meninggal dunia empat jam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 3:41 PM