chan (kanan) bersama Kamalanathan (dua dari kanan) pada perasmian program NEHA 2017, semalam.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Masalah penglihatan dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat dan membimbangkan apabila satu kajian terkini melaporkan satu daripada 10 kanak-kanak di Malaysia mempunyai masalah penglihatan yang tidak dikesan.

Presiden Persatuan Optometris Malaysia (AMO), Murphy Chan berkata, keadaan itu berlaku akibat kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat berkenaan kebaikan pemeriksaan mata.

“Mata adalah alat pembelajaran utama bagi kanak-kanak kerana 80 peratus mereka belajar mengamati sesuatu menerusi deria itu.

“Selain itu, apabila masalah penglihatan tidak dikesan, ia akan menjejaskan perkembangan kanak-kanak, mengganggu pembelajaran dan berkemungkinan menjadi punca utama kepada kehilangan penglihatan,” katanya ketika berucap pada Kempen Kesedaran Kesihatan Mata Kebangsaan (NEHA) 2017, semalam.

Kempen yang bertemakan Penglihatan Untuk Kanak-Kanak adalah anjuran AMO dan Majlis Optik Malaysia (MOC) dan dilancarkan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan.

Menurut Chan, NEHA 2017 akan menekankan keperluan untuk rakyat Malaysia menjalani pemeriksaan dan mendapatkan nasihat yang betul berkenaan mata.

“Kebanyakan daripada kita tidak tahu bahawa pemeriksaan mata yang betul serta berkala perlu dilakukan untuk memastikan preskripsi untuk cermin mata dan kanta lengkap sentiasa tepat di samping membolehkan kita mengesan tanda awal penyakit mata.

“Sebagai sebahagian daripada kempen ini, pemeriksaan mata percuma kepada kanak-kanak disediakan di lokasi terpilih sehingga 31 Disember depan,” katanya.

Beliau berkata, maklumat berkenaan pemeriksaan mata boleh diperoleh dengan menghubungi AMO di talian 011-26102040 atau e-mel ke secretariat@amoptom.org.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 4:06 AM