Reinhart Yeremiah meninggal dunia akibat dilanggar pacuan empat roda ketika melintas jalan. FOTO ihsan PDRM
Amniera Naziera Amran
hmkk@hmetro.com.my


MURID lelaki tahun enam meninggal dunia selepas dilanggar pacuan empat roda ketika melintas jalan di Jalan Kionsom, dekat Inanam, Kota Kinabalu, pada 12.50 tengah hari semalam.

Mangsa, Reinhart Yeremiah Benedict, 12, yang parah akibat kejadian itu dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas tetapi disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan pada 3.17 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, sebelum kejadian lelaki berusia 51 tahun yang memandu pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser dan dalam perjalanan dari Kampung Kionsom menghala ke Penampang.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia melihat sebuah bas sekolah memberhentikan penumpang di bahu sebelah kiri jalan.

"Dia meneruskan perjalanan dan apabila melepasi bas itu, tiba-tiba seorang kanak-kanak melintas dari sebelah kiri ke kanan jalan.

"Akibat jarak yang terlalu dekat, dia tidak sempat memberhentikan kenderaan lalu merempuh kanak-kanak berkenaan.

"Ia menyebabkan mangsa terpelanting ke kiri jalan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, lelaki terbabit kemudian menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Inanam sebelum kanak-kanak itu dipindahkan ke HWKKS, Likas untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan," katanya.

Menurutnya, kemalangan berlaku di jalan sehala dan keadaan cuaca baik ketika kejadian.

"Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian termasuk mengambil sampel darah pemandu terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu sehingga menyebabkan kematian," katanya.

pacuan empat roda yang terbabit dengan kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 12:54 AM