Nabihah Kamal 
nabihah.kamal@hmetro.com.my

 

 

SEMBILAN lelaki warga India ditahan susulan video tular seorang lelaki mendakwa didera majikan dalam kejadian di restoran di Venni Plaza, Sungai Chua, Kajang. 

 

Lapan lelaki itu ditahan kerana tinggal melebihi masa dan bergaduh serta menimbulkan kekecohan manakala seorang lagi yang juga mangsa ditahan berikutan tinggal melebihi masa di negara ini.  

 

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, seorang daripada sembilan lelaki berkenaan mendakwa dia didera.  

 

"Lelaki berusia 36 tahun itu mendakwa sudah empat tahun didera oleh majikan serta ditumbuk dan ditendang oleh tiga pekerja restoran berkenaan hingga menyebabkan dia luka di bibir, jari kaki serta punggung.  

 

"Susulan kejadian itu, polis menahan lapan lelaki warga India yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun di restoran itu," katanya. 

 

Menurutnya, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati  mangsa dalam keadaan mabuk meminta gaji  daripada seorang suspek. 

"Permintaan mangsa tidak diendahkan juruwang yang juga suspek berkenaan atas alasan mangsa beberapa hari tidak bekerja.  

"Bagaimanapun, mangsa terus menyerang suspek," katanya.  

Susulan itu,  Ahmad Dzaffir berkata, polis membuat pemeriksaan mendapati terhadap pekerja premis itu sebelum mendapati mereka memiliki pasport tamat tempoh dan tinggal melebihi masa. 

"Mangsa dan semua suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39B Peraturan- Peraturan Imigresen 1963.  

"Semua tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Kajang esok untuk dipohon tahanan reman daripada Majistret.  

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.  

Semalam, tular di Facebook seorang lelaki warga India 'mengadu' melalui video berdurasi 1 minit 30 saat mendakwa dia didera oleh majikan dan tidak dibayar gaji ketika bekerja di restoran di Venni Plaza, Sungai Chua.  

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 11:25 PM