Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki warga emas cedera di belakang badan selepas dibelasah dua lelaki bertopeng dipercayai menggunakan besi di rumahnya di Kampung Bukit Nyamuk, Mukim Tualak, Padang Terap, hari ini.

Difahamkan ketika kejadian, dua suspek terbabit menceroboh masuk rumah mangsa melalui pintu dapur yang tidak berkunci pada jam 8.30 pagi itu sebelum mengikat isteri mangsa, Radziah Ramli, 65.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, isteri mangsa yang berada di dapur tidak sempat berbuat apa-apa apabila dikejutkan dengan kehadiran penjenayah yang terus menerpa ke arahnya dan mengikat kaki, tangan dan menutup mulut mangsa menggunakan pita pelekat.

"Suspek meninggalkan suri rumah itu di dapur sebelum pergi menyerang suami yang tidur di atas katil di tengah rumah.

"Suspek kemudian menarik mangsa hingga jatuh dari katil dan memukulnya sebelum lari melalui pintu belakang. Suspek gagal menutup mulut dan mengikat mangsa yang meronta melepaskan diri ketika itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Noh berkata, berikutan itu suami mangsa dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk menjalani rawatan dan pihaknya sudah mengambil rakaman percakapan daripada pengadu dan suaminya.

Beliau berkata, mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek kerana mereka memakai sarung topeng dan tidak sempat mengambil barang berharga di rumah itu.

"Mangsa juga tidak mengetahui motif suspek menceroboh masuk ke rumah mereka dan mengakui tidak bermusuh dengan sesiapa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 9:32 PM