Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my

 

ENAM sahabat yang baru keluar lokap kerana ditahan bagi membantu siasatan kes dadah, hilang enam motosikal dan beberapa barang berharga akibat rumah disewa mereka di Taman Cheras Awana, Kajang dipecah masuk 14 Oktober lalu.

Sebelum kejadian itu, mereka ditahan polis pada tarikh sama selepas terbabit dengan aktiviti dadah dan direman.

Bagaimanapun, sebaik mereka dibebaskan pada 19 Oktober lalu, apabila pulang ke rumah, pintu rumah rosak seperti diumpil dan enam motosikal yang diparkir di dalam rumah teres dua tingkat itu lesap.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, lima motosikal yang hilang adalah Yamaha RXZ dan sebuah lagi Yamaha 125ZR.

"Turut dilarikan dua topi keledar Shoei J-Force, tiga jam tangan, komputer riba, dua cincin dan kamera dengan nilai keseluruhan kerugian dianggarkan RM80,000.

"Bagaimanapun, siasatan sedang diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457/397A Kanun Keseksaan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 6:58 PM
Motosikal yang dicuri. FOTO ihsan PDRM