Mohammad Nazli (tengah) bergambar bersama wakil syarikat makanan dan minuman selepas majlis penyampaian sijil Anugerah Pilihan Persembahan Makanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 18 peratus dalam sektor makanan dan minuman (F&B) sehingga September lalu.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB Mohammad Nazli Abdul Aziz berkata, sektor berkenaan menyumbang kira-kira RM200 juta kepada keseluruhan jualan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

"Sektor F&B mempunyai potensi yang besar dan kita juga menjangkakan sumbangan tahunan sektor ini boleh mencecah sehingga RM300 juta menjelang akhir tahun ini.

"Ia berikutan peningkatan kemasukan jumlah pelancong terutama dari China melalui KLIA dan terminal klia2 yang memberi kesan secara langsung kepada sektor F&B di dua lapangan terbang ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen KULinary dan Anugerah Persembahan Makanan Pilihan di KLIA, Sepang, hari ini.

Katanya, pengenalan sistem pembayaran menggunakan Alipay sejak Julai lalu turut memudahkan transaksi dalam kalangan pelancong China sekali gus memberi kesan positif kepada pertumbuhan F&B.

"Kita berhasrat menjadikan F&B sebagai pengalaman membeli-belah baru kepada semua tetamu selain membawa makanan yang menjadi pilihan rakyat Malaysia di lapangan terbang kami," katanya.

Sementara itu, Mohammad Nazli berkata, pihaknya menyenaraikan sebanyak 25 premis makanan terbaik yang boleh didapati di dua lapangan terbang miliknya iaitu KLIA dan klia2.

"Penganjuran kempen KULinary sejak tahun lalu turut membantu melonjakkan prestasi jualan di KLIA sebanyak 46.5 peratus dan klia2 sebanyak 53.5 peratus.

"Selain itu, kempen ini adalah usaha yang baik untuk memberi peluang kepada tetamu yang mungkin tidak dapat menikmati pelbagai jenis makanan di luar sana.

"Malah, ia juga dapat menggalakkan pengendali premis makanan untuk meningkatkan kualiti tahap makanan dan perkhidmatan mereka," katanya.

Info

25 premis makanan terbaik di KLIA dan klia2

(KLIA)

1. Deli 'n' Meals

2. Flight Club

3. Food Paradise

4. Fukuya @ KLIA

5. Grandmama's

6. Hameed Dalca Curry House

7. Mamak Kandaq Rice

8. Nooodles

9. Food Garden- Nyonya

10. Old Malaya Kopitiam

11. Sama-Sama Express KLIA

12. Selera Nusantara

13. Food Garden- Selera Pantai Timur

14. The Coffee Club

(Klia2)

15. Agrobazaar Malaysia

16.Bibik Heritage

17. Bumbu Desa

18. Hot Wok

19. Killiney Kopitiam

20. Mamak

21. Popeyes

22. Sama-Sama Express klia2

23. Taste of India

24. The Green Market

25. The Loaf

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 6:52 PM