DUA beradik perempuan yang ditahan AADK. FOTO Ihsan AADK
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


DUA beradik perempuan antara enam individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis, selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah methamphetamine dalam Op Cegah 44/2017 sekitar Kangar, hari ini.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata, dua beradik berkenaan ditahan bersama seorang penagih lain di rumah mereka di Kampung Syed Omar, pada 1 pagi manakala tiga lelaki berusia 15 ke 50 tahun ditahan di lokasi berasingan sekitar daerah Kangar.

"Operasi bermula 8.30 malam semalam hingga 6 pagi tadi mensasarkan individu yang mempunyai waran di beberapa kawasan panas sekitar daerah sini.

"Dua beradik berusia 27 dan 24 tahun itu, ketika ditahan sedang leka mengambil dadah bersama lelaki dipercayai rakan suami si kakak di rumah itu," katanya dihubungi hari ini.

Menurut Azizah, hasil soal siasat ke atas dua beradik itu, mereka mengaku belajar menghisap dadah dari suami si kakak.

"Si kakak mempunyai anak lelaki yang berusia empat tahun, mengaku mengambil dadah sejak 2014 daripada suaminya yang juga penagih.

"Manakala adiknya yang mempunyai seorang anak perempuan dan dua lelaki berusia tujuh tahun hingga tiga bulan, baru bercerai dengan suaminya seminggu lalu dan terjebak menghisap dadah kononnya kerana tertekan dengan masalah rumah tangga.

"Ketika penahanan dilakukan mereka sedang menghisap dadah di hadapan anak-anak mereka tanpa rasa bersalah," katanya.

Katanya, pihaknya percaya rumah itu turut dijadikan sarang penagihan dadah dan ketika kejadian, suami wanita berusia 27 tahun itu tiada di rumah.

"Semua suspek dibawa ke pejabat AADK Perlis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Pihak AADK terpaksa membawa bayi berusia tiga bulan ke pejabat AADK kerana masih menyusu dan kelihatan tidak cergas dipercayai kesan pengambilan dadah oleh si ibu manakala kanak-kanak lain diserahkan kepada nenek dan bekas suami," katanya.

Azizah berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 6 (2) (c) dan Seksyen 6 (2 (d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 4:59 PM