Foto peserta 'Fun Run TB' pada 2 April 2017 di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Suhaila Shahrul Annuar
am@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan lebih 300,000 saringan penyakit tuberkulosis (Tibi) atau batuk kering di seluruh negara bagi mengekang penularan.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, saringan sudah mula dilakukan sejak awal tahun ini dengan memberi tumpuan di kawasan berisiko tinggi.

Katanya, saringan itu sebagai langkah awal untuk mengesan pesakit supaya rawatan awal dapat diberikan.

"Setiap tahun, secara purata sebanyak 23,000 kes Tibi dilaporkan dan jangkitan dalam kalangan pelajar boleh diklasifikasikan sebagai jarang berlaku," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Kesihatan bersama warga kementerian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan tiga pelajar di sebuah sekolah menengah di Subang Jaya, Selangor dijangkiti Tibi.

Katanya, KKM belum mendapat sebarang laporan mengenainya dan sekiranya benar, pihaknya akan memberi rawatan sepenuhnya kepada pelajar terbabit.

Beliau berkata, bagi mengekang penularan Tibi, pihaknya memberi suntikan vaksinasi BCG kepada bayi dan seterusnya di sekolah.

"Pesanan saya kepada ibu bapa, jika anak batuk dan tidak sembuh dalam masa dua minggu selepas mendapatkan rawatan, mereka perlu membuat saringan Tibi.

"Jika semua pihak dan ibu bapa lakukan perkara ini, kita dapat kurangkan penularan penyakit itu," katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Dr Subramaniam berkata, warga kementerian perlu menjadi duta dan pemudah cara selain memberikan mesej serta penerangan terbaik kepada rakyat sekiranya wujud penularan berita mengenai kementerian itu yang boleh menimbulkan kegusaran.

"Sebagai contoh, isu penggunaan semula peralatan perubatan di hospital kerajaan, kita sudah jelaskan ia mengikut piawaian antarabangsa, prosedur tertentu seperti disteril terlebih dulu dan sentiasa mengutamakan keselamatan pesakit.

"Malah konsep itu sudah lama diamalkan di negara ini, dan tiada kaitan dengan kemampuan kewangan sektor kesihatan.

"Beri penerangan yang jelas dan betul supaya sistem kesihatan kita sentiasa diyakini rakyat, jangan bagi mesej yang salah yang akhirnya akan membuat rakyat takut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 3:55 PM