AHMAD Zahid ketika bacaan Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berharap Bajet 2018 yang akan dibentangkan Jumaat ini memberi keutamaan terhadap keperluan kepolisan moden terutama dalam meningkatkan aset dan perkakasan yang sesuai bagi membanteras judi dalam talian dan jenayah siber.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau juga berharap aset dan perkakasan itu dapat ditingkatkan sesuai dengan tuntutan semasa agensi dan jabatan di KDN.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kementerian turut memohon kebajikan pegawai dan anggota jabatan serta agensi di bawah KDN diberikan perhatian sewajarnya.

“Kami mahu kuarters anggota polis dipertingkatkan dengan membaiki serta menambah baik kemudahan sedia ada selain meningkatkan isu berkaitan kekurangan belanja operasi,” katanya sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya kos pengambilan pembantu rumah dikurangkan supaya tidak membebankan penjawat awam.

Katanya, beliau juga berharap prosedur dan peraturan baru berkaitan pengambilan pembantu rumah dapat mengurangkan beban pegawai kerajaan terutama yang memerlukan khidmat pembantu rumah.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau mahu soal integriti diberikan perhatian sewajarnya dalam sesebuah organisasi, jabatan mahupun kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 10:38 AM