TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Muar, semalam.
HM Digital

Muar: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan membunuh suaminya pada 14 Oktober lalu.

Juvana itu didakwa membunuh suaminya, Mohd Firdaus Md Sallehuddin, 28, di sebuah rumah beralamat No 130 A, Jalan Indah 6, Taman Pertama Indah, Sungai Abong, di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Terdahulu, pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top dalam prosiding secara tertutup. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Amalina menetapkan 23 November ini sebagai tarikh semula sebutan kes bagi menunggu laporan psikatrik tertuduh.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593).

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Metro Ahad pada 15 Oktober lalu melaporkan, seorang suami maut ditikam isterinya selepas berlaku pertengkaran di rumah di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar, kira-kira jam 2 petang.

Isteri mangsa dikatakan terlalu marah kerana suaminya tidak pulang ke rumah di Parit Bunga, Tangkak, sejak beberapa hari lalu.

Pasangan itu dikatakan baru mendirikan rumahtangga kira-kira lima bulan lalu dan mereka mendiami rumah keluarga isteri di Parit Bunga, Tangkak. Arwah Mohd Firdaus pula bekerja sebagai pemotong ayam di Pasar Besar Muar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 5:53 AM