Ahmad Dzaffir menunjukkan ganja yang dirampas. FOTO Aizuddin Saad
Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my


DUA tokan dadah ditahan selepas memiliki 27 paket dadah yang disembunyikan dalam kotak rokok serta pembungkus burger dalam dua serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kajang, Selasa lalu.

Dalam dua serbuan di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi (BBB) dan Cheras Perdana (CP) itu, dua lelaki berusia 26 dan 36 tahun ditahan kerana memiliki ganja.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, penahanan suspek pertama di Seksyen 15 BBB membawa kepada penemuan 10 paket ganja seberat 80.7 gram.

"Suspek yang tidak bekerja itu menyembunyikan dadah dalam kotak rokok. Dia juga menjadi pembekal dadah kepada penuntut universiti di BBB sejak tiga bulan lalu.

"Susulan itu, suspek direman lima hari sehingga 28 Oktober ini dan disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ahmad Dzaffir berkata, seorang lagi suspek yang menyembunyikan 17 paket ganja dalam kertas pembungkus burger ditahan di CP pada 11 malam.

Menurutnya, suspek yang giat mengedar dadah sejak tiga bulan lalu itu memiliki ganja seberat 348.6 gram.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman sehingga 28 Oktober ini," katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, keseluruhan hasil rampasan bernilai RM1,200.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 6:00 PM