Dua daripada lima suspek yang diburu
Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my


SEORANG ditahan, lima lagi diburu kerana menyamun dan mencederakan pemilik restoran 24 jam selepas mengamuk di Taman Putra Budiman, Balakong, Kajang, 18 Oktober lalu.

Dalam kejadian 5 petang, enam lelaki itu mabuk sebelum mengamuk di restoran berkenaan dan menyerang mangsa dengan menggunakan botol.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, akibat kejadian itu mangsa cedera di kepala.

"Susulan laporan polis yang diterima, seorang daripada enam suspek ditahan pada 22 Oktober lalu di Balakong dan direman sehingga esok .

"Bagaimanapun, polis masih memburu lima lagi suspek berusia 30 hingga 40 tahun yang menyamun wang tunai berjumlah RM600 sebelum melarikan diri dengan menunggang tiga motosikal. Dua daripadanya sudah dikenal pasti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394/427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:42 PM