Empat awak-awak warga Myanmar dan bot nelayan kelas C diiringi ke Jeti DM4 Selangor untuk tindakan lanjut. Foto Ihsan APMM
Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


EMPAT awak-awak warga Myanmar sebuah bot nelayan Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 4 Selangor kira-kira 9.9 batu nautika dari Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam kira-kira 7 pagi tadi.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, kapal ronda APMM yang membuat pemeriksaan mendapati bot nelayan itu dipercayai melanggar syarat sah lesen vesel dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bot itu melanggar zon penangkapan ikan yang ditetapkan kerana menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika di perairan Hutan Melintang.

Abu Zaki berkata, empat awak-awak itu termasuk tekong berusia antara 22 hingga 38 tahun didapati bekerja di bot terbabit.

"Dua daripada mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Tekong dan awak-awak terbabit kemudiannya ditahan jam 8.15 pagi tadi dan diiringi ke Jeti DM4 Selangor untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen vesel dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Beliau berkata, walaupun kesalahan pelanggaran zon penangkapan ikan itu nampak kecil tetapi ia memberi kesan lebih besar kepada faktor semula jadi pembiakan ikan dan hidupan marin lain.

"Pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor akan terus giat dilakukan APMM tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

"Kami berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap kepada APMM jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah di laut di talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi APMM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:41 PM