KENDERAAN penduduk rosak dihempap pokok tumbang.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my

Temerloh: “Saya terkedu dan hampir menangis melihat atap rumah diterbangkan ribut dalam sekelip mata. Ketika itu, saya hanya mampu berdoa supaya kejadian buruk tidak menimpa saya dan keluarga,” kata J Sarasuni, 29.

Dia antara mangsa ribut yang melanda lebih 70 kediaman di Mentakab dan daerah ini, kelmarin menyebabkan rumah mereka terjejas teruk.

Menurutnya, dalam kejadian jam 6 petang itu, dia menjemur pakaian sebelum dikejutkan dengan kehadiran angin kencang secara tiba-tiba dan hujan lebat di rumahnya di Taman Saga, di sini.

“Ketika itu saya mengambil kembali jemuran pakaian untuk dibawa masuk ke dalam rumah. Apabila saya, suami dan anak berada di dalam rumah, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi dentuman yang sangat kuat. Suami pergi meninjau dan mendapati sebahagian bumbung rumah kami diterbangkan angin.

“Hujan sangat lebat, habis semua perabot dan pakaian dalam rumah basah kerana bumbung tercabut. Nasib kami baik kerana tidak mengalami kecederaan,” katanya ditemui, semalam.


GERAI makan turut mengalami kerosakan dilanda ribut.

Seorang lagi mangsa, S Ramesh, 42, berkata, dalam kejadian itu dia tidak berada di rumah kerana bekerja di Kuala Lipis sebelum menerima panggilan daripada isteri mengatakan rumah mereka dilanda ribut.

“Saya bergegas pulang dari tempat kerja dan apabila tiba di rumah, sebahagian besar bumbung rumah tercabut diterbangkan angin. Atap yang tercabut 60 siling dan daripada jumlah itu 30 keping yang rosak. Campur dengan perabot dan televisyen, saya rasa kerugian mencecah RM7,000,” katanya.

Ramesh berkata, kejadian ribut itu yang pertama berlaku di kawasan perumahannya sejak lebih 10 tahun tinggal di kawasan berkenaan.

Difahamkan, kawasan perumahan Taman Saga adalah kawasan paling teruk terjejas membabitkan 64 rumah manakala terdapat beberapa rumah yang turut rosak di kawasan Taman Rimba, Taman Seri Layang, Desa Bakti dan Kampung Bukit Kelulut.

Selain itu, terdapat beberapa kejadian pokok tumbang yang menghempap kenderaan penduduk serta gerai makanan di kawasan taman perumahan yang turut terjejas akibat serangan ribut itu.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahan Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu jam 8.15 malam sebelum ke lokasi bagi melakukan kerja menyelamat.

Menurutnya, berdasarkan laporan, kebanyakan rumah yang terjejas mengalami kerosakan bumbung, selain kenderaan yang rosak akibat dihempap pokok tumbang.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan manakala anggota APM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain bagi melakukan kerja menyelamat dan membersihkan sisa pokok tumbang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 9:35 AM