Mohamed Khaled (tengah) diapit Wan Zulkiflee (kiri) dan Mohd Sidek (kanan) bersama kakitangan Petronas pada perasmian Loji Kojana Pengerang dan RGT2, semalam.
HM Digital

Kota Tinggi: Pelaburan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), di sini, dijangka menjana pendapatan kasar RM8.3 bilion menjelang 2020 dengan sumbangan terbesar diperoleh daripada inisiatif Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sehingga September lalu, PIC yang juga projek pelaburan terbesar PETRONAS dibangunkan di PICC sudah mencapai 77 peratus kemajuan.

Malah katanya, dengan pelancaran Loji Kojana Pengerang (PCP) dan Terminal Regafikasi 2 (RTG2), ia bakal melengkapkan pembangunan kompleks bersepadu berkenaan apabila beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2019.

“Prasarana kritikal sudah pun lengkap, sedia untuk memulakan operasi bersepadu seawal suku pertama tahun hadapan sebagai persediaan menyokong operasi loji penapisan minyak dan perekah wap sedikit masa lagi.

“Beberapa bulan lalu, dua daripada enam kemudahan sokongan kompleks ini sudah memulakan proses pentauliahan, merangkumi RGT2 dan PCP yang menjadi mercu tanda penting PIC,” katanya pada majlis perasmian Loji Kojana Pengerang dan Terminal Regafikasi 2 (RGT2) di PIC, Pengerang, di sini, semalam. Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama, Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Sidek Hassan serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Sementara itu, loji janakuasa gas itu mempunyai empat unit kojana di mana unit pertamanya beroperasi secara komersial pada 21 Oktober lalu.

Selain daripada penjanaan tenaga elektrik, PCP juga akan membekalkan wap sehingga 1,480 tan sejam kepada loji-loji di dalam PIC.

RGT2 pula sebuah kemudahan bersepadu yang akan menerima, menyimpan dan menyalurkan semula gas asli cecair (LNG) dengan kapasiti mencecah 3.5 juta tan setahun (MTPA).

Najib berkata, untuk menyokong pelaburan swasta di PIPC, kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri melaksanakan 25 projek prasarana kritikal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:39 AM