KEADAAN tangan kanan mangsa selepas ditetak penyamun. FOTO Ihsan PDRM
Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my


LELAKI warga Myanmar parah tangan kanan selepas ditetak dengan parang dalam kejadian samun di kedai makan di Kampung Kubang Tin, Melor, Kota Bharu, 6.10 pagi tadi.

Akibat kejadian berkenaan, ibu jari kanan lelaki berusia 34 tahun itu hampir putus dan dia kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama isterinya berusia 20-an berada di kedai makan milik mereka untuk bersiap memulakan operasi.

Katanya, tiga suspek memasuki premis itu dan bertanyakan mengenai ayam kampung.

"Seorang daripada mereka tiba-tiba mengeluarkan satu objek menyerupai pistol dan meminta mangsa menyerahkan barang berharga.

"Dalam masa sama, seorang lagi suspek mengeluarkan parang dan cuba menetak mangsa. Mangsa cuba menghalang dan menyebabkan tangan kanannya cedera," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek sempat melarikan barang kemas milik isteri mangsa iaitu cincin dan rantai leher dianggarkan bernilai RM2,000.

Ketiga-tiganya kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diletakkan berhampiran kedai.

Ismail berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Melor pada 7.20 pagi dan usaha memburu suspek sedang giat dilakukan.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 6:55 PM