GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


SATU pusat agihan makanan menggunakan masjid bakal diwujudkan oleh Lembaga Zakat negeri Kedah (LZNK) bermula tahun hadapan bagi membantu asnaf fakir dan miskin di negeri itu mendapatkan bantuan makanan dengan segera.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman berkata, projek perintis kepada rancangan berkenaan akan dimulakan di daerah Sik dan Baling menggunakan masjid di dua daerah berkenaan.

“Dalam masa yang sama juga, imam masjid di kariah yang terbabit dengan projek itu akan menguruskan pemberian di pusat agihan berkenaan di mana selepas ini anak atau waris asnaf ini tidak perlu lagi ke pejabat LZNK untuk urusan bantuan zakat sebaliknya hanya perlu menemui imam masjid kariah mereka yang menjadi wakil kepada LZNK.

“Jadi dalam soal ini imam masjid akan menjadi orang penting dalam menguruskan hal ini kerana kita mahu melihat sumbangan zakat yang diberikan oleh orang ramai dapat dimanfaatkan menerusi projek ini dan tidak mahu lagi mendengar asnaf di kawasan luar bandar terabai serta tiada barang makanan untuk mereka makan” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Agihan Zakat oleh Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar hari ini.

Tambahnya, di Kedah sahaja terdapat 10,000 orang asnaf fakir dan miskin di mana daerah Sik dan Kota Setar mempunyai ramai asnaf dan di Kota Setar pula asnafnya terdiri daripada mereka yang dikategorikan sebagai miskin bandar.

“Lima bahan makanan asas seperti beras, gula, sardin dalam tin, minyak masak dan kopi akan diletakkan dalam pusat agihan makanan berkenaan.

“Untuk projek ini, kita sudah memperuntukkan satu daerah sebanyak RM1 juta setiap tahun berdasarkan bahan makanan asas yang diberikan dan pemberian bantuan makanan itu dilakukan secara bulanan,” katanya.

Beliau berkata, imam masjid di kariah terbabit boleh menggunakan budi bicara mereka dalam pengagihan makanan kepada asnaf yang memerlukan.


SULTAN Sallehuddin (tengah) menerima replika cek daripada Abdul Wahid (tiga kiri). FOTO Bernama

Selain itu juga, LZNK turut akan bekerjasama dengan KPJ Healthcare Berhad (KPJ) dengan mewujudkan klinik wakaf bagi membantu asnaf fakir dan miskin mendapatkan rawatan kesihatan secara percuma.

“Setiap tahun LZNK memperuntukkan RM8 juta sebagai pembiayaan kos rawatan kepada golongan miskin dan kurang bernasib baik dan ini termasuklah rawatan pesakit kronik dan dialisis.

“Konsep klinik wakaf ini akan diwujdukan secara tetap di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang banyak manakala bagi kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk sedikit pula akan dilaksanakan menggunakkan konsep klinik wakaf bergerak” katanya.

Zakaria juga berkata, kerajaan negeri Kedah secara dasarnya sudah bersetuju untuk membenarkan LZNK menggunakan Kompleks Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Mergong sebagai pusat dialisis.

“Pusat dialisis yang diwujudkan oleh kita sekarang ini agak terhad kepada 18 kerusi rawatan sahaja dan kita merancang agar dalam masa lima tahun, kita dapat membesarkan perkhidmatan dialisis ini lebih daripada 40 kerusi rawatan.

“Malah, mesin dialisis itu juga dapat ditambahkan menggunakan agihan semula zakat daripada syarikat atau orang perseorangan yang menyumbang zakat mereka saban tahun,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Sultan Sallehuddin berkenan menerima agihan zakat perniagaan Kumpulan PNB berjumlah hampir RM11.4 juta yang diperoleh hasil kutipan selama empat tahun bermula dari tahun 2013.

Cek zakat perniagaan itu disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar kepada baginda sambil disaksikan oleh Mufti Negeri Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang dan Setiausaha Kerajaan negeri Kedah, Datuk Bakar Din.

Turut hadir, Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Timbalan Presiden merangkap Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PNB, Datuk Mohd Nizam Zainordin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 5:57 PM