Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


PERSATUAN Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Perak meminta polis menyiasat lelaki yang melakukan perbuatan luar tabii terhadap anjing yang videonya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV), dipercayai berlaku di Teluk Intan Rabu lalu.

Video berdurasi 37 saat itu tular sejak kelmarin, memaparkan lelaki berkenaan mendukung anjing, duduk di hadapan pintu pagar bengkel kereta sebelum melakukan perbuatan terbabit terhadap anjing itu.

Ketua Biro Aduan MCA Perak Jimmy Loh berkata, pihaknya menerima video berkenaan menerusi Whatsapp pagi tadi dan meminta polis menyiasat lelaki berkenaan.

Katanya, tindakan lelaki terbabit disifatkan melampau hingga melakukan kekejaman terhadap haiwan.

“Susulan melihat video berkenaan, saya bersama SPCA Perak membuat laporan di Balai Polis Pekan Bharu dan mahu polis menjalankan siasatan terhadap lelaki itu.

“Jika lelaki terbabit boleh melakukan sebegini terhadap haiwan, tidak mustahil dia boleh buat perkara sama terhadap manusia dan saya harap polis menjalankan siasatan secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan berkenaan hari ini.

Jimmy turut meminta orang ramai berhenti menyebarkan video terbabit bagi membolehkan polis melakukan siasatan.

Sementara itu. Presiden SPCA Ricky Soong berkata, ini pertama kali pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu menerusi video rakaman CCTV.

“Orang ramai yang melihat video seumpama itu diminta membuat aduan kepada SPCA atau membuat laporan polis bagi menghentikan perbuatan kejam individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Abdul Rani Alias ketika dihubungi berkata, polis mengesahkan menerima laporan berkenaan dan menyerahkan kes itu kepada polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Teluk Intan untuk siasatan lanjut.

Katanya, beliau dimaklumkan polis Teluk Intan sudah membuka kertas siasatan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 5:27 PM
KETUA biro aduan MCA Perak Jimmy Loh (kiri) bersama Presiden SPCA, Ricky Soong menunjukkan laporan polis di Balai Polis Pekan Baru. FOTO Muhaizan Yahya