MOHMAD (tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas di KLIA.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Polis mematahkan cubaan seludup 254 kilogram (kg) ketamin bernilai RM12.7 juta ke Taiwan melalui kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 19 Oktober lalu.

Dalam serbuan jam 5.30 petang itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) KLIA bersama Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) melakukan pemeriksaan ke atas enam kotak sebelum menemui 248 bungkusan teh Cina mengandungi 254 kg ketamin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, rampasan dadah itu adalah terbesar setakat ini di kargo KLIA.

Beliau berkata, pihaknya percaya dadah yang diikrarkan sebagai pakaian itu cuba dibawa masuk ke dalam pesawat yang akan berlepas ke Taipei, Taiwan melalui KLIA untuk dipasarkan di negara berkenaan.

“Kami tidak menolak kemungkinan harga pasaran dadah di Taiwan yang berlipat kali ganda melebihi Malaysia membuatkan sindiket dadah menggunakan pelbagai cara bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Serbuan dibuat susulan maklumat diberikan pihak berkuasa Taiwan. Sebelum ini, pasukan penguatkuasaan Taiwan merampas bungkusan mengandungi 30.5 kg heroin yang disorokkan dalam 90 unit termos haba dan kami percaya dari sindiket sama,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, pihaknya bekerjasama dengan Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB) Taiwan bagi menjalankan siasatan terperinci untuk mengesan dalang sindiket berkenaan.

Mohmad berkata, siasatan awal mendapati, alamat pengirim pada kotak yang dirampas menggunakan alamat di Lembah Klang namun setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

Menurutnya, hasil kerjasama antarabangsa yang dibuat polis Malaysia dengan MJIB, Taiwan sejak 2012, lima rampasan dadah dilakukan membabitkan 73 tangkapan masing-masing 54 warga tempatan dan 19 warga asing.

“Lima rampasan itu membabitkan 1,025 kg pelbagai dadah dan lebih empat juta pelbagai pil bernilai RM103 juta dan dipercayai boleh digunakan 850,000 penagih dadah,” katanya.

Katanya, polis sentiasa meningkatkan jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Kanada, China, Korea dan Jepun bagi memastikan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah dibanteras habis-habisan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 5:28 AM