RAKAMAN kamera litar tertutup merakam kegiatan kumpulan penjenayah Geng Mart yang aktif menyamun pasar raya di sekitar Klang.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Klang: Geng Mart dianggotai lapan penjenayah yang aktif menyamun pasar raya di sekitar bandar ini sejak beberapa bulan lalu tumpas selepas enam daripada mereka ditahan polis, 10 Oktober lalu.

Semua suspek yang juga lelaki berusia 23 tahun hingga 27 tahun itu ditahan jam 1 pagi dan polis turut merampas sebuah Perodua Myvi yang digunakan untuk menyamun.

Taktik digunakan Geng Mart ialah menyerbu premis yang mahu menutup perniagaan sebelum mengugut mangsa menyerahkan barangan berharga.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan suspek membolehkan pihaknya menyelesaikan lima kes samun pasar raya dan satu kes samun kenderaan.

“Dua lagi suspek lain masih bebas dan kami sedang mengesan mereka,” katanya, semalam.

Suspek yang masih bebas ialah T Sivaneswaran yang digelar Siva @ Uchi, 34. Dia beralamat terakhir di No 92, Jalan 5/60 Frazer Tower, Petaling Jaya.

Seorang lagi ialah S Thinagaran, 23, yang digelar Thina. Dia beralamat terakhir di Blok G-2-07 Pangsapuri Gasuarina, Bandar Botanic, Pelabuhan Klang.

Menurut beliau, pada satu kejadian di sebuah pasar raya di Bukit Tinggi, tiga suspek bertopeng dan bersenjatakan parang menceroboh sebuah premis, jam 10 malam pada 10 Ogos lalu.

“Dua daripada suspek mengacukan parang ke arah seorang pekerja sebelum memaksanya membuka laci simpanan wang.

“Mangsa yang ketakutan menyerahkan wang tunai RM1,800. Suspek ketiga pula melarikan 15 kotak rokok pelbagai jenama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 5:19 AM