SUPERINTENDAN Som Sak Din Keliaw (kanan) menunjukkan dadah jenis heroin yang telah dibungkus kecil dalam satu serbuan di Taman Desa Damai, dekat Bidor, Jumaat lalu. FOTO Razif Rosli
Razif Rosli
am@hmetro.com.my


TIGA lelaki ditahan polis selepas didapati memiliki dadah jenis heroin bernilai RM14,000 dalam serbuan di rumah di Taman Desa Damai, dekat Bidor, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, berdasarkan siasatan pihaknya, ketiga-tiga suspek berusia 25 hingga 50 tahun itu didapati terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

Beliau berkata, dalam serbuan 11.30 malam itu, pemeriksaan lanjut menemui satu beg hitam berisi dadah jenis heroin seberat 576.01 gram.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis namun berjaya ditahan.

"Pemeriksaan lanjut di badan seorang daripada suspek menjumpai dadah heroin yang disembunyikan dalam poket pakaiannya.

"Turut dijumpai beg galas yang mengandungi sembilan paket plastik lutsinar dengan setiap satunya mengandungi 50 paket kecil dadah disyaki jenis heroin," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam rumah suspek menemui pelbagai peralatan berkaitan aktiviti pengedaran dadah dan 14 bilah parang panjang.

Ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan methamphetamine.

Som Sak berkata suspek ditahan reman sehingga 27 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 6:04 PM