Sanusi dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas dijatuhi hukuman. Foto Effendy Rashid
Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my


LELAKI warga emas didenda RM220,000 dan penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Ipoh di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada 2013.

Sanusi Abdul Rashid, 61, yang bekerja sebagai pembantu am rendah di Jabatan Pelajaran Gerik didakwa meminta dan menerima rasuah daripada jirannya sebagai dorongan untuk menarik semula laporan polis dibuat anaknya.

Hakim S Indra Nehru membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan.

Tertuduh dijatuhi hukuman denda RM150,000 dan penjara empat tahun bagi pertuduhan pertama dan masing-masing empat tahun penjara dan denda RM35,000 bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Bagi hukuman penjara, Indra Nehru memerintahkan hukuman itu dijalankan serentak bermula hari ini.

Beliau memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan 15 bulan bagi pertuduhan pertama dan masing-masing tambahan empat bulan penjara bagi pertuduhan kedua dan ketiga jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Sanusi didakwa meminta suapan wang RM30,000 daripada Badrun Abdul Hadi bagi menarik balik laporan polis dibuat di hadapan Blok A, Kuarters Institut Pendidikan Air Panas, Gerik pada 17 Ogos 2013 jam 9.30 pagi.

Tertuduh turut didakwa meminta rasuah RM7,000 daripada Badrun melalui satu perbualan telefon di Pejabat Pusat Khidmat Pelanggan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Takong Dato, Gerik, pada 20 Ogos 2013 jam 4.10 petang.

Bagi pertuduhan ketiga, bapa kepada sembilan anak itu didakwa menerima suapan RM7,000 daripada lelaki sama di pondok awam berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, pada 23 Ogos 2013 jam 4 petang.

Dia didakwa atas semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar keseluruhan denda sebanyak RM220,000 dan membayar wang jaminan tambahan sebanyak RM20,000 jika mahu penangguhan bagi hukuman penjara selepas peguam bela tertuduh memohon penangguhan pelaksanaan hukuman kerana mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 3:20 PM