ORANG ramai berpusu-pusu hadir pada hari terakhir KUD 2017 bagi mendapatkan barangan pilihan. FOTO Aswadi Alias.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penganjuran Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, yang berakhir semalam melakar kejayaan gemilang apabila mencapai sasaran yang ditetapkan berikutan terus menjadi tumpuan dalam kalangan pengunjung sepanjang berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lalu.

Ini berikutan orang ramai tidak melepaskan peluang terakhir mendapatkan pelbagai perkhidmatan dan produk keperluan rumah, pakaian serta makanan yang boleh diperoleh daripada lebih 700 usahawan luar bandar seluruh negara.

Menariknya, hari terakhir semalam meriah dengan tawaran harga runtuh apabila ramai pengusaha memberikan diskaun bagi menarik minat pengunjung yang masih berpusu-pusu mendapatkan produk pilihan pada harga berpatutan.

Pengunjung dari Gombak, Farid Ashraf Kamarulzaman, 31, berkata, dia datang ke karnival itu sejak awal pagi bersama keluarganya bagi mendapatkan pelbagai pilihan produk yang jarang diperoleh pada harga murah.


FARID Ashraf.

“Bagi saya KUD adalah ruang terbaik bukan saja membantu usahawan luar bandar untuk mengembangkan perniagaan mereka, malah pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai pilihan produk terutama yang pelik dan sukar didapati pada harga berpatutan.

“Contohnya saya datang ke sini (KUD 2017) hendak membeli madu asli dan makanan pelik-pelik sebab bukan senang hendak dapat. Justeru, saya harap KUD dapat dianjurkan secara lebih kerap mungkin dua kali setahun untuk memudahkan pengunjung mendapatkan pelbagai produk pilihan di bawah satu bumbung,” katanya.

Bagi Fadzlina Sukeri, 46, dia mengambil kesempatan mengunjungi KUD 2017 kerana mahu mencari rangkaian untuk memulakan perniagaan bagi sumber pendapatan sampingan.


FADZLINA.

“Karnival ini bagus kerana mengetengahkan pelbagai pilihan produk usahawan desa pada harga sangat berbaloi serta banyak aktiviti menarik disediakan untuk seisi keluarga.

“Selain membeli makanan sejuk beku untuk keluarga, saya juga mengumpul maklumat untuk membuat jaringan dengan usahawan bagi memulakan perniagaan sampingan pada masa depan,” katanya.

Pengarah Urusan Temuan Abo Craft Helmi Naim Ahmad, 22, mengakui keberkesanan penganjuran program seperti KUD 2017 kerana banyak membantu mereka mendapatkan tempahan perabot dan kraftangan daripada pengunjung.

“Alhamdulillah, sambutan begitu menggalakkan. Setakat ini, jualan saya melebihi sasaran iaitu mencecah RM14,000 dalam bentuk jualan produk kraftangan dan perabot. Selain berniaga, saya dapat mencari idea pemasaran dan mengetahui citarasa pelanggan.


HELMI Naim.

“Malah, melalui kelas keusahawan yang dianjurkan sepanjang KUD 2017 berlangsung membolehkan usahawan muda seperti saya menimba banyak ilmu secara percuma,” katanya.

Bagi usahawan Orang Asli dari Kampung Melayu Pontian Besar Kiri, Pontian, Johor, Siti Rahayu Abdullah, 27, KUD 2017 adalah platform terbaik untuk usahawan desa dalam mengembangkan perniagaan dan memperkenalkan produk mereka kepada orang luar.

“Saya menyertai KUD ini sejak edisi 2015, malah ramai pelanggan mengenali produk ikan masin keluarga saya daripada program ini.

“Dengan adanya program seperti KUD ini, ia sebenarnya membantu Orang Asli supaya lebih bersikap terbuka, berdaya saing dengan usahawan lain dan maju ke depan.

“Saya bersyukur, jualan kami melebihi sasaran apabila lebih 1,200 peket ikan kering daripada 11 jenis ikan terjual sepanjang empat hari karnival ini berlangsung,” katanya.

Sementara itu, kekurangan diri akibat lumpuh separuh badan tidak mematahkan semangat Fariz Abd Rani, 38, dari Kota Kinabalu, Sabah untuk bersaing dengan usahawan lain bagi memperluaskan perniagaan peralatan anggota tiruan miliknya di karnival itu.

“Sebenarnya agak mustahil untuk saya menjual peralatan sokongan ini dalam tempoh singkat, tetapi melalui KUD saya dapat mengembangkan rangkaian perniagaan apabila ada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) percaya serta berminat dengan produk kami.

“Bagi saya, berniaga bukan hanya melariskan produk tetapi membina rangkaian dan kepercayaan itu lebih penting memandangkan produk saya perlu ditempah terlebih dahulu mengikut kesesuaian dan ukuran anggota pelanggan yang mana membabitkan banyak proses termasuk sesi perbincangan.

“Melalui pengalaman saya sendiri, sebenarnya masyarakat tidak ada pengetahuan selain mudah ditipu apabila membeli peralatan tiruan dan alat sokongan yang tidak sesuai dengan keadaan semasa anggota badan,” katanya yang meraih lebih 10 pelanggan yang berminat menempah produknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 11:11 AM