lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes dua lelaki yang cedera ditembak jarak dekat dalam kejadian di sebuah kedai kopi di pekan Bukit Gambir, Tangkak, Johor, Jumaat lalu.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


POLIS Johor menahan lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes dua lelaki yang cedera ditembak jarak dekat dalam kejadian di sebuah kedai kopi di pekan Bukit Gambir, Tangkak, Johor, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lima suspek lelaki berusia antara 30-an hingga 40-an itu ditahan kelmarin dan hasil soal siasat mendapati motif kejadian dipercayai ada kaitan dengan isu dadah.

"Kita sudah menahan lima orang dan hasil siasatan awal kita, kita percaya kejadian ini terzahir daripada isu dadah.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut dan terperinci," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, dua mangsa yang terbabit kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan pihaknya percaya akan mendapat maklumat tambahan sekiranya dapat menjalankan soal siasat terhadap mangsa.

Setakat ini katanya, polis mendapati semua suspek dan mangsa itu mempunyai kaitan dipercayai berhubung isu dadah.

Katanya, semua suspek kini masih ditahan reman hingga 27 Oktober ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi, Jumaat lalu, dua lelaki berusia lingkungan 30-an yang minum pagi bersama rakannya di kedai berkenaan didatangi suspek sebelum ditembak menggunakan pistol semi auto.

Suspek datang ke kedai berkenaan dengan memakai topi keledar bertutup penuh sebelum melepaskan tujuh das tembakan ke arah kumpulan mangsa.

Selepas melepaskan tembakan dalam jarak dekat ke arah kumpulan berkenaan, suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 10:23 AM