KAKITANGAN AADK membantu bekas penagih menghasilkan baja organik. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Mohd Sharumnisham Shahbudin
am@hmetro.com.my


EMPAT PULUH bekas penagih di daerah Kubang Pasu berjaya menamatkan kursus penghasilan baja organik yang berlangsung di Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kubang pasu, hari ini.

Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu, Mohd Zaki Ablah berkata, peserta itu adalah sebahagian daripada 848 Orang Kena Pengawasan (OKP) di seluruh daerah ini.

"Program ini adalah inisiatif Biro Ekonomi, Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah bagi membantu bekas penagih ini menjana pendapatan dengan menghasilkan baja organik ini,

"Kursus yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian Daerah Kubang Pasu mendedahkan peserta menghasilkan sendiri baja menggunakan bahan organik yang mudah didapati dan boleh dijual dengan mudah hari ini," katanya ketika ditemui selepas program itu hari ini.

Katanya, OKP ini adalah bekas penagih yang selesai menjalani rawatan pemulihan tetapi perlu berada dalam pengawasan AADK selama 24 hingga 36 bulan mengikut Seksyen 6 (1) (a) dan 6(1) (b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Mereka perlu hadir dalam setiap aktiviti yang dianjurkan sebagai satu langkah pemulihan dan kegagalan menghadirinya akan dikenakan tindakan” katanya.

Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 8:44 PM