TOYOTA Vios terbabas dan terbalik dalam longkang di KM 254.2, PLUS, arah selatan, semalam. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


BERPANTANG maut sebelum ajal. Itu yang berlaku terhadap lapan sekeluarga apabila kereta yang dinaiki terbabas sebelum terbalik memasuki longkang di Kilometer 254.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, berhampiran Plaza Tol Senawang, di sini, hari ini.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Senawang, Tugiman Rashid berkata, pada kejadian 12 tengahari, keluarga berkenaan menaiki kereta Toyota Vios dari Batu Caves menuju ke Johor Bahru.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas memasuki longkang berdekatan.

"Pihak bomba menerima panggilan pada 12.01 tenghari mengerahkan tujuh anggota ke lokasi. Sebaik tiba 13 minit kemudian, anggota mendapati kemalangan membabitkan lapan mangsa," katanya.

Beliau berkata, mereka adalah dua lelaki dan tiga wanita dewasa serta tiga kanak-kanak masing-masing berusia antara enam hingga 65 tahun.

Katanya, pihaknya mendapati semua mangsa sudah dikeluarkan orang awam dan enam daripada mereka cedera di dada, kaki dan tangan.

"Mereka tercedera adalah dua lelaki dan dua wanita dewasa serta dua kanak-kanak. Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 6:11 PM