TAJUDDIN beramah mesra dengan sebahagian nelayan di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini. FOTO Fathil Asri
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


KEWUJUDAN orang tengah antara punca kenaikan harga ikan di pasaran sehingga membebankan pengguna sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani(MOA) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, orang tengah ini sengaja berbuat demikian bagi mendapatkan keuntungan berganda.

Beliau berkata, kekurangan bekalan ikan berikutan faktor cuaca turut menyumbang kepada kenaikan harga ikan.

"Kita tidak setuju jika orang tengah ini mengambil kesempatan untuk dapat keuntungan berlebihan, malah, ada yang sanggup menyembunyikan bekalan ikan dan hanya dikeluarkan apabila bekalan ikan semakin kurang demi mendapatkan untung berganda.

"Oleh itu, kita harap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ambil tindakan untuk pastikan pengguna tidak menjadi mangsa," katanya dalam sidang media sempena Program Ramah Mesra bersama nelayan Tumpat di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Harian Metro berhubung dakwaan golongan peniaga dan pemborong bahawa pembabitan orang tengah menjadi punca kenaikan harga ikan di pasaran.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM250,000 untuk pembinaan lima jeti di lima pulau sekitar Tumpat.

Beliau turut menyampaikan elaun sara hidup nelayan berjumlah RM1.4 juta kepada 1,400 nelayan di Tumpat.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata untuk mengatasi masalah itu, MOA dan LKIM menggalakkan nelayan mengusahakan projek ternakan ikan sangkar untuk meningkatkan pengeluaran ikan negara.

Katanya, kini 80 peratus hasil tangkapan di negara ini bergantung di laut.

"Kita tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada ikan laut kerana ada masanya bekalan ikan menurun disebabkan cuaca.

"Oleh itu, MOA dan LKIM mengambil dasar untuk tambahkan ikan ternak kepada 50 peratus untuk seimbangkan pendaratan dan pembekalan ikan mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 5:47 PM
Skip this ad x