EMPAT bot nelayan asing warga Vietnam yang ditahan di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pulau Kambing. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Razik Zayad
hmkk@hmetro.com.my


KERAJAAN tidak akan teragak-agak menenggelamkan mana-mana bot nelayan asing yang didapati menceroboh perairan negara ini untuk mengaut hasil secara haram.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pelaksanaan tindakan tegas itu sudah pernah dilakukan sebelum ini dan pihaknya memberi amaran keras kepada bot nelayan asing yang masih berdegil kerana kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi melepaskan mereka.

Beliau berkata, ini memandangkan isu pencerobohan bot nelayan asing dilihat semakin serius terutamanya di pantai timur Malaysia sehingga menyebabkan nasib nelayan tempatan malang kerana tidak dapat meraih hasil ikan khususnya di perairan laut dalam.

"Masalah pencerobohan bot nelayan asing ini dilihat serius terutamanya di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan namun di Sabah, ia masih dalam kawalan.

"Jika didapati bersalah dan menerima arahan mahkamah, kita akan melakukan tindakan membakar serta melupuskan bot-bot nelayan asing itu seperti mana yang pernah dilakukan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas mengenai bot nelayan asing di Kapal Maritim (KM) Arau, di Jeti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar, Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerusi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lain-lain akan meningkatkan operasi di semua perairan yang berpotensi bagi mempertahankan kedaulatan negara ini daripada terus diceroboh.

"Setakat tahun ini kita berjaya menahan 133 bot nelayan asing dari Vietnam dan Indonesia di seluruh Malaysia.

"Untuk pihak APMM, kita lihat tangkapan bot nelayan asing ini akan dilakukan secara rutin dengan dibantu oleh pasukan keselamatan lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), " katanya.

Hadir sama adalah Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Maritim Adam Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 1:54 PM