Kereta dan pelbagai barangan yang dirampas polis dengan penahanan pasangan suami isteri di Kamunting, Taiping.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


LEBIH empat jam meloloskan diri selepas dikejar kereta peronda polis, seorang lelaki diberkas di Taman Kota Wira, Taiping semalam.

Bekas tentera berusia 29 tahun itu dikehendaki polis membabitkan tiga kes pecah rumah dan ditahan pada 10.45 malam semalam ketika bersembunyi di atas siling rumah dan isterinya berusia 28 tahun turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, terdahulu lelaki terbabit dikesan memandu kereta Proton Satria Neo dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Kamunting, Taiping kira-kira 6 petang.

Menurutnya, kereta dipandu lelaki itu dikesan kereta peronda polis yang sedang menjalankan rondaan cegah kemalangan/jenayah di lebuh raya berkenaan.

"Sebaik dikesan semakan polis ke atas nombor pendaftaran dapati kereta terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Polis kemudian arahkan pemandu untuk memberhentikan kenderaan menggunakan pembesar suara namun lelaki berkenaan tidak memberhentikan kenderaan dan terus memecut laju ke arah selatan sebelum kereta polis bertindak mengejarnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kereta terbabit keluar melalui plaza tol Kamunting dan terus menghala ke pekan sehingga sampai di Taman Kamunting Perdana sebelum kenderaan itu terbabas serta mengalami kerosakan dan pemandu bertindak melarikan diri meninggalkan kereta.

"Semasa kenderaan lelaki terbabit dikejar, suspek melanggar beberapa motosikal dan kereta awam serta pejalan kaki sekitar kawasan Kamunting.

"Polis juga terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran ke udara dan arahkan suspek supaya berhenti namun tidak diendahkan," katanya.

Katanya, polis cuba mengesan lelaki terbabit di kawasan berhampiran namun gagal dan pemeriksaan terhadap kereta yang ditinggalkan terdapat kesan gangguan pada nombor chasis.

Menurutnya, polis trafik Taiping juga menerima empat laporan kemalangan membabitkan insiden itu dan siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti sama ada kereta dinaiki lagi berkenaan kenderaan curi atau sebaliknya.

"Susulan itu, bertindak atas maklumat sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Kota Wira, Taman Kota Wira Kamunting, Taiping dan tangkap seorang wanita dalam rumah dan seorang lelaki yang bersembunyi atas siling rumah.

"Semakan mendapati lelaki itu dikehendaki membabitkan tiga kes pecah rumah dimana satu kes di Kamunting dan dua kes di Pahang," katanya.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan dalam rumah berkenaan yang disyaki barang hasil curi selain sebuah kereta Perodua Alza yang diparkir dalam garaj rumah kerana didapati dilaporkan hilang di Terangganu

"Hasil ujian awal air kencing mendapati lelaki itu positif syabu dan pasangan terbabit ditahan bagi membantu siasatan pelbagai kesalahan seperti kes pecah rumah, kes curi kenderaan, Akta Pengangkutan Jalan, penyalahgunaan dadah dan kesalahan lain yang berkaitan.

"Tangkapan dibawa ke mahkamah pagi tadi untuk reman dan perintah reman diperoleh sehingga Jumaat ini manakala pasangannya akan dipohon reman esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 9:15 PM