Jeriah meninggal dunia, suaminya kritikal selepas kemalangan di Kilometer 13, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Serdang, Dungun hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


"SUDAH tertulis ajal ibu. Saya sudah rayu minta mereka pulang esok tetapi mereka bertegas mahu pulang hari ini dan kerisauan saya menjadi kenyataan apabila menerima berita kemalangan mereka," kata Zuraimi Abdul Mubim, 46, anak kepada Jeriah Yaakob, 68, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Serdang, Dungun hari ini.

Dalam kejadian 3.15 petang, Jeriah dari Felda Sungai Tekam Utara, Jerantut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun akibat parah di kepala pada 4 petang manakala suaminya, Abdul Mubin Mohamed, 78, yang dilaporkan kritikal kini dirawat di hospital sama.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kancil dipandu Abdul Mubin dari arah Bukit Besi ke Dungun membelok memasuki simpang tiga di tempat kejadian.

Pada masa sama, pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah bertentangan yang tiba di tempat kejadian gagal mengelak sebelum merempuh kereta dinaiki pasangan warga emas berkenaan.

Zuraimi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika ibu bapanya dalam perjalanan pulang ke Jerantut selepas menghadiri kenduri di rumah kakak iparnya di Kampung Padang Pulut, dekat sini.

"Mereka berdua datang ke Dungun sejak semalam dan bertegas mahu pulang walaupun kami melarang.

"Bagaimanapun, ayah bertegas nak balik dan dia minta kami semua tidak bimbang kerana dia nak bawa kereta dengan berhati-hati.

"Namun, selepas bersalam dengan mereka, saya mula berasa tidak sedap hati sebelum menerima panggilan memaklumkan kemalangan itu selepas 15 minit mereka meninggalkan rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Pegawai Bomba Kanan II Othman Sembok berkata, lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Kita mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan suami mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 8:15 PM