HM Digital

Melaka: Seorang gadis bergenang air mata selepas Mahkamah Tinggi Melaka, Ayer Keroh, semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bapanya yang juga mualaf atas kesalahan memiliki dadah tahun lalu.

Terdahulu gadis terbabit Chong Xiang Yi, 24, dan bapanya, Othman Abdullah, 62, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memiliki dadah jenis kanabis.

Dua beranak itu sebelum ini berdepan hukuman gantung sampai mati mandatori atas kesalahan mengedar dadah, bagaimanapun mereka ditawarkan pertuduhan pilihan oleh pihak pendakwaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S Hassan Badjenid, memerintahkan Chong dibebaskan dan pertuduhan terhadapnya ditarik semula selepas Othman mengaku bersalah atas tuduhan pilihan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, dua beranak itu didakwa di dalam milikan terdapat dadah berbahaya jenis kanabis seberat 304 gram.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang daripada 10 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, jam 1.15 pagi pada 5 Ogos tahun lalu.

Selain itu Othman, seorang penganggur turut didakwa mengikut Seksyen 6 akta sama kerana memiliki sejumlah 7.98 gram dadah jenis sama.

Tertuduh, yang diwakili peguam Leng Wie Mun, merayu mahkamah mengenakan hukuman minimum terhadap tertuduh selain tidak dikenakan sebatan dengan mengambil kira faktor kesihatan Othman yang menghidap strok.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 3:12 AM
Othman dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, semalam.