SELVA Rajah (kiri) dan Jazlan didakwa di Mahkmah Majistret Ipoh, semalam.
HM Digital

Ipoh: Dua pengarah sebuah syarikat kejuruteraan masing-masing didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dua pertuduhan menyalah guna wang milik seorang wanita berjumlah keseluruhan RM27,500 pada November 2015.

Bagi pertuduhan pertama, K Selva Rajah, 45, dan Jazlan Abdullah, 46, didakwa menyalah guna wang milik Fatimah Shamsulaman, 55, berjumlah RM13,500 yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank milik Sunner Group International Berhad pada 23 November 2015 di Maybank Station 18, di sini, jam 10.04 pagi.

Kedua-duanya turut dituduh menyalah guna wang RM14,000 milik wanita sama yang dimasukkan ke akaun syarikat sama jam 11.40 pagi di Public Bank Jalan Pasir Puteh, di sini,
pada 24 November 2015.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (KK)
di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan
dan denda.

Dua pengarah syarikat terbabit yang diwakili peguam K Hari Krishnan bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan
dan minta dibicarakan.

Irna Julieza memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 2:53 AM