MOHD Sharif bersama pingatnya. Gambar kanan, sebahagian koleksi lencana pengakap dari serata negeri dan negara yang masih disimpan rapi Mohd Sharif. FOTO Noor Azurin Mohd Sharif
Noor Azurin Mohd Sharif
am@hmetro.com.my


Melaka: Biarpun sudah bergelar atok, semangat ahli pengakap masih menebal dalam jiwa Mohd Sharif Kamardin, 76, malah pada usia emas, dia aktif dalam aktiviti anjuran persatuan itu termasuk perkhemahan tahunan.

Pesara guru itu mula menyertai persatuan pengakap ketika di sekolah rendah. Selepas bergelar pendidik, dia semakin aktif terutama dalam melahirkan lebih ramai ahli pengakap berdisiplin dan mampu berdikari.

Dia yang mesra dengan panggilan Paklong berkata, pembabitannya dalam persatuan pengakap sejak 50 tahun lalu secara tidak langsung membuktikan kesetiaannya terhadap pasukan beruniform itu.

Bagi diri Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Melaka itu, semangat dan kecintaan terhadap pengakap tidak pernah padam malah mood pengakap itu sudah sebati dengannya.

Setakat ini, Mohd Sharif menyimpan lebih 100 sijil penghargaan dan penyertaan pelbagai program pengakap. Lebih membanggakan dia turut mengumpul ratusan lencana dan skarf jambori pengakap pelbagai negara dibawa pulang setiap kali menyertai perkhemahan antarabangsa.

“Semuanya saya simpan sebagai kenangan sebab bukan mudah untuk dapatkan semua itu. Orang boleh kata barangan berkenaan tidak berfaedah tapi tidak bagi saya. Kalau boleh rumah pun saya nak hias dengan tema pengakap.

“Masuk pengakap ni bukan sebab semata-mata untuk kumpul lencana tetapi ia juga dapat membentuk disiplin seseorang dan sebagai ahli pengakap kita dituntut agar mengasihi ibu bapa, pemimpin dan sabar dalam apa juga situasi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ayer Keroh, semalam.

Sepanjang pembabitannya dalam pengakap, Mohd Sharif menerima penghargaan daripada Persekutuan Pengakap Malaysia dengan dianugerahkan lima pingat selain diiktiraf sebagai jurulatih pengakap antarabangsa.

“Sekali lagi saya berbesar hati dengan penghargaan itu. Antara pingat berkenaan ialah Perkhidmatan Baik, Perkhidmatan Lama, Anugerah Presiden, Jasa Pengakap dan terbaharu pingat khas Pengakap 100 Tahun Selangor.

“Semua penganugerahan yang diterima menjadi pembakar semangat saya untuk terus berhidmat dalam persatuan ini. Memang jiwa saya bersama pengakap sampai bila-bila dan saya berasa puas melakukan semua ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 8:21 AM