MANGSA dipercayai terlanggar jalan yang tak rata mengakibatkan senjata api meletup. FOTO Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my

PENGAWAL keselamatan ditemui mati disyaki terkena tembakan senjata api miliknya di sebuah ladang sawit berdekatan Sungai Koyah, di Kampung Paris Tiga, Kinabatangan, semalam.

Dalam kejadian 7 pagi itu, mangsa, lelaki warga Indonesia berusia 48 tahun, ditemui oleh anak lelakinya yang berusia 22 tahun di satu lokasi di ladang berkenaan.

Anaknya kemudian melaporkan kejadian kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, sebelum kejadian, lelaki itu keluar rumahnya untuk ke tempat kerja di ladang berkenaan, pada 6 pagi, Selasa.

Beliau berkata, menurut isteri mangsa yang berusia 40-an, lelaki itu ada membawa senjata api buatan sendiri dan beberapa peluru.

“Difahamkan, tujuannya membawa senjata api tersebut adalah untuk menjaga keselamatan diri daripada binatang liar seperti gajah dan babi hutan.

“Bagaimanapun, sehingga esoknya (Rabu), lelaki itu tidak pulang ke rumah.

"Isteri mangsa kemudian meminta anak lelakinya mencari mangsa.

“Anaknya yang ditemani rakan, menemui mayat bapanya itu di satu lokasi di ladang berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini,

semalam.

A Sahak berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati terdapat kesan tembakan di bahagian leher di bawah dagu sebelah kiri mangsa.

“Tembakan tersebut disyaki dilepaskan dari bawah. Pemeriksaan juga mendapati terdapat kesan melecur pada bahagian pergelangan tangan kirinya.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui enam butir peluru pada tali pinggang dipakai lelaki itu,” katanya.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, lelaki berkenaan mungkin terlanggar jalan yang tidak rata.

"Ia mungkin mengakibatkan senjata api yang dibawa lelaki itu meletup dan mengenai bahagian bawah lehernya," katanya.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat.

"Polis juga merampas selaras senjata api buatan sendiri jenis 'bakakuk', enam peluru dan satu kelongsong peluru," katanya.

A Sahak berkata, polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (c) Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 5:37 PM