Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


DUA remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan menyamun kedai serbaneka di Bandar Permaisuri, Setiu dengan bersenjatakan pedang dan pisau.

Tertuduh, Muhammad Afif Shahmi Mohd Amin, 19, dan Mohamad Syafiq Rusli, 19, dari Bandar Permaisuri, Setiu mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan membabitkan kerugian wang tunai RM47 dan lapan kotak rokok pelbagai jenis di Kedai Serbaneka 7-Eleven Bandar Permaisuri, Setiu, 4.30 pagi 8 Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa menggunakan senjata iaitu sebilah pedang dan pisau yang boleh mendatangkan kecederaan atau kematian terhadap mangsa, Muhammad Izahar Gazman, 24, yang bekerja di premis berkenaan ketika kejadian.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua-dua tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 6 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh kerana faktor keselamatan mangsa.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Faizah Nor Randeran.

Akhbar sebelum ini melaporkan tindakan pantas polis menggagalkan dua lelaki untuk menikmati hasil samun selepas seorang daripada mereka terlebih dahulu berjaya diberkas di kedai serbaneka yang disamun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 4:35 PM
TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Syafiq Ambak