Mamat (kiri sekali), Abu Bakar (tengah) dan Majnun (dua dari kanan) menceritakan kejadian kepada Mat Yassim (kanan). FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


TIGA nelayan nyaris maut apabila bot dinaiki mereka dirempuh sebuah tongkang dalam kejadian kira-kira tujuh batu nautika dari pantai Kuala Dungun, hari ini.

Mangsa terdiri daripada tekong bot, Mamat Jaafar, 61, dan dua awak-awak, Abu Bakar Salleh, 70, dan Majnun Abdul Ghani, 53.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi ketika mangsa yang berasal dari Kampung Rhu Batil, Kuala Abang, Dungun dalam perjalanan menangkap ikan.

Sebaik tiba di tempat kejadian, bot mereka yang bernombor pendaftaran TRF 674 dikatakan dirempuh tongkang yang sedang ditarik sebuah bot penunda.

Rempuhan kuat itu menyebabkan bot mangsa hancur dan tenggelam, namun semua nelayan terbabit berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki tongkang berkenaan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu Mat Yassim Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Ketiga-tiga nelayan terbabit dibawa naik ke dalam bot penunda sebelum dihantar ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun dan tiba kira-kira 10 pagi.

“Saya membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan dan jumlah kerugian masih dalam taksiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 1:01 PM