Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


JABATAN Imigresen menumpaskan satu sindiket pendaftaran E-Kad palsu serta menahan 14 suspek dalam operasi di premis di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam operasi pada 12 tengah hari itu, semua suspek yang diperiksa dan ditahan membabitkan 11 warga Malaysia (lima lelaki dan enam wanita) serta tiga warga Filipina (seorang lelaki dan dua wanita).

"Siasatan awal mendapati, lelaki lingkungan usia 60 tahun mendakwa dirinya bergelar Datuk Seri mendalangi satu sindiket pengeluaran dokumen palsu untuk pelaksanaan program pendaftaran penggajian dan penempatan semula pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

"Kegiatan Datuk Seri ini disokong oleh satu syarikat sendirian berhad yang beroperasi di sekitar Kota Kinabalu, Sabah," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, dokumen palsu dikeluarkan kepada PATI dengan kadar bayaran RM1,100 hingga RM1,200 bagi setiap kad dikeluarkan kononnya untuk kebenaran mereka berada di Sabah sebagai pekerja asing yang berdaftar.

"Cetakan dan pengeluaran akan diurus oleh ejen dilantik iaitu proses dilakukan di Kuala Lumpur sebelum siap untuk diserahkan kepada pelanggan mereka (PATI)," katanya.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, semua suspek dibawa ke Depot Tahanan Pejabat Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

"Berikutan itu, mereka disiasat mengikut Seksyen 56 (1A) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan Seksyen 51 (5)(b) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.

"Selain itu, sebanyak 60 barang kes turut disita untuk membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sekali lagi menegaskan, tidak ada sebarang program pengurusan PATI dan pendaftaran Program E-Kad dijalankan di Sabah.

"Jabatan ini tidak pernah melantik atau bekerjasama dengan mana-mana pihak atau individu untuk melaksanakan pendaftaran Program E-Kad di Sabah.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhubung terus ke Pejabat Imigresen terdekat untuk mendapatkan maklumat tepat sekiranya ada pihak mendakwa boleh menguruskan dan membuat pendaftaran PATI atau Program E-Kad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 8:32 PM