ANTARA kereta klon yang dirampas. FOTO JSPT KL
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


LELAKI yang mempunyai tiga kereta klon ditahan dalam pemeriksaan di kawasan parkir Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur, 11.30 malam, Sabtu lalu.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, Unit Risikan/Operasi JSPT KL sudah melakukan risikan dan intipan terhadap suspek sejak 2.30 petang, Jumaat.

Menurutnya, ketika suspek ditahan, polis merampas Honda Jazz.

“Semakan pada cukai jalan WLE8311 (Akm0Pc1) mendapati ia tidak sama dengan nombor asalnya (Zue9qw9), malah nombor casis tidak wujud dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Suspek kemudian mengaku mempunyai dua lagi kereta klon iaitu Suzuki Swift dan Honda Accord yang diparkir di Aras 5, TBS. Kedua-dua kereta ini turut menggunakan nombor cukai jalan palsu dan casis tiada dalam rekod JPJ,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Katanya, suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 5:03 PM