DODDY menggayakan uniform kadet bomba muncul juara pertunjukan fesyen, semalam.
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my

Kuantan: Tema persembahan Abang Bomba I Love U menjadi kelebihan pada kucing bernama Doddy milik Mohd Azlan Ishak, 32, untuk muncul juara pertunjukan fesyen sempena sambutan Hari Inovasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Berjaya Megamall, di sini, semalam.

Program dengan kerjasama Kelab Naughty Cat dan syarikat pengeluar makanan kucing, Power Cat turut mengadakan acara pertandingan kucing cantik pelbagai kategori serta pameran.

Mohd Azlan yang kali pertama menyertai pertunjukan fesyen kucing mengeluarkan modal RM30 untuk membeli uniform kadet bomba sebelum menjahit semula bagi mengecilkannya selain membuat topi.


GAYA kucing yang menyertai pertandingan fesyen.

“Saya tidak menyangka percubaan pertama menyertai acara itu membuahkan kejayaan. Usaha dilakukan bersama isteri (Rossuhaida Hairuddin, 29) beberapa hari sebelum pertandingan memang berbaloi.

“Doddy yang berumur setahun ini sudah beberapa kali menyertai pertandingan kucing cantik di daerah ini,” katanya yang memiliki dua kucing manja sebagai penyeri kediaman mereka.


KUCING yang menyertai pertunjukan fesyen sempena Hari Inovasi JBPM di Berjaya Megamall.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia (PERISMA) Datin Zuhairah Yaakob.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia (PERISMA) Pahang, Datin Norlatifah Jaafar.

Sembilan peserta menyertai pertunjukan fesyen kucing yang menawarkan hadiah piala dan makanan kucing jenama Power Cat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 9:42 AM