YUSOFF (kiri) bersama Baljit di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.
HM Digital

Putrajaya: Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam selepas didapati bersalah kerana memandu di lorong kecemasan di Lingkaran Putrajaya, Putrajaya pada 7 Oktober 2016.

Majistret Muhammad Zaki Abd Kudos membuat keputusan itu selepas mendengar rayuan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Muhammad Zaki juga menetapkan penjara empat bulan jika tertuduh gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Yusoff membayar denda RM2,000 berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yusoff selaku orang kena saman (OKS) didakwa memandu di lorong kecemasan menggunakan kenderaan bernombor BLY 68, di Lingkaran Putrajaya, Putrajaya, jam 6.27 petang, 7 Oktober 2016.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Datuk Baljit Singh dalam rayuannya mahu mahkamah memberi hukuman setimpal kepada anak guamnya kerana ia bukan kes mengikut Kanun Keseksaan, sebaliknya Akta Pengangkutan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan berkata, pihak pendakwaan mahu OKS menerima hukuman sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada orang lain.

Menurutnya, pihak pendakwaan juga mahu satu mesej jelas diberikan kepada OKS dan agensi penguatkuasaan lain, mereka perlu mematuhi undang undang yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 6:26 AM