DUA defendan dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Sivil Johor Bahru, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Keluarga pelatih Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Kota Tinggi, Johor, yang maut dipercayai dipukul polis bantuan di pusat berkenaan dalam kejadian empat tahun lalu menang dalam tuntutan samannya terhadap Kerajaan Malaysia dan dua bekas polis bantuan terbabit atas dakwaan cuai dalam memastikan keselamatan mangsa di pusat itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Sivil Johor Bahru, Datuk Teo Say Eng mengarahkan Kerajaan Malaysia dan dua polis bantuan, Darmaji Darwi, 28, serta Mohsin Jamari, 35, selaku defendan pertama, kelima dan keenam membayar tuntutan berjumlah RM305,000 kepada plaintif kerana mempunyai bertanggungan secara bersama atau berasingan menyebabkan kecuaian itu.

Teo dalam keputusannya mengarahkan defendan pertama, kelima dan keenam itu membayar RM100,000 bagi ganti rugi am, RM200,000 untuk ganti rugi pengajaran, ganti rugi teruk serta ganti rugi penyalahgunaan kuasa awam.

“Mahkamah turut membenarkan tuntutan RM5,000 bagi ganti rugi khas kos pengebumian selain defendan pertama diarah membayar kos tindakan RM50,000 kepada plaintif beserta faedah lima peratus setahun dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh,” katanya.

Sebelum ini, Mek Eshah Jusoh, 73, yang juga ibu kepada Mohamad Ezanee Zakaria, 38, (ketika kejadian) selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan RM1.55 juta menerusi Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 24 Februari 2014.

Dalam tuntutan saman itu, plaintif turut menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pengarah CCRC Kota Tinggi selaku defendan kedua, ketiga serta keempat.

Plaintif mendakwa semua defendan cuai dalam memastikan keselamatan mangsa ketika dalam jagaan dan pengawasan pusat itu.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan tuntutan saman ke atas defendan kedua, ketiga dan keempat itu ditolak tanpa perintah kos kerana tiada liabiliti dan tiada kecuaian membabitkan mereka.

Plaintif diwakili peguam Ahmad Hafiz Zubir serta Auzan Sazali, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Thalha Bachok mewakili defendan pertama hingga keempat dan dua lagi defendan mewakili diri sendiri.

Darmaji dan Mohsin kini menjalani hukuman penjara apabila Mahkamah Sesyen Kota Tinggi menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara berkuat kuasa tarikh mereka ditangkap pada 2013 selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh mangsa tanpa niat.

Pada 14 November 2013, Mohamad Ezanee dimasukkan ke CCRC Kota Tinggi sebagai pelatih dan pada hari sama dia dipercayai dipukul atau diserang polis bantuan.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Pada 15 November 2013, mangsa disahkan meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat pembengkakkan otak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 6:01 AM