RAMLI (tengah) menunjukkan pistol yang digunakan suspek ketika melakukan samun. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my


TIGA lelaki yang terbabit kes samun dan tembak seorang lelaki ditahan dalam tiga serbuan di Sandakan, 13 Oktober lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, kejadian samun berlaku pada 11.55 malam 6 Oktober lalu di Bandar Ramai-Ramai.

"Mangsa berusia 42 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang sebelum disamun tiga lelaki bersenjata pistol.

"Mangsa turut cedera di perut akibat ditembak dan mengalami kerugian keseluruhan termasuk wang tunai sebanyak RM15,000 selepas dilarikan suspek," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, hari ini.

Ramli berkata, bertindak atas maklumat risikan, ketiga-tiga suspek diberkas sepasukan polis, Jumaat lalu.

"Pistol digunakan turut ditemui di kawasan ladang di Batu 16, dekat sini, dipercayai dibuang oleh suspek.

"Selain itu, kita turut menemui sejumlah wang tunai dipercayai hasil samun berkenaan," katanya.

Beliau berkata, polis masih mengesan seorang lagi suspek dikenali sebagai Martin, 30-an, kerana dipercayai terbabit dalam kes samun berkenaan.

"Ketiga-tiga suspek berusia 33 dan 39 tahun direman dan siasatan masih dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 7:31 PM