POLIS menjalankan siasatan di tempat kejadian. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


LELAKI maut selepas terjun dari tingkat 10 di hotel dekat Jalan Pantai, Port Dickson, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, pada kejadian 2.30 petang, lelaki berusia 40-an itu parah di kepala, badan, kaki serta lutut.

Katanya, pihaknya yang menerima maklumat kejadian daripada pengurusan hotel mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi.

"Sebaik tiba lima minit kemudian, lelaki itu didapati sudah meninggal dunia. Dia parah di seluruh anggota badannya," katanya.

Zainudin berkata, tiada identiti pengenalan diri ditemui pada badan mayat.

"Berdasarkan pemeriksaan, kita percaya lelaki ini warga tempatan berdasarkan suntikan BCG pada lengan kirinya," katanya.

Menurut Zainudin, pihaknya percaya lelaki itu terjun dari tingkat 10 kerana terdapat kesan selipar pada tepi bangunan.

"Buat masa ini pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel itu.

"Mayat dihantar ke Hospital Port Dickson, di sini untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 6:35 PM