Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik Tauliah Mengajar dan membatalkan keahlian Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zain sebagai Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais berkata, perkenan baginda diputuskan selepas berbincang dengan Dewan Diraja Selangor mengikut peruntukan Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenaan MAIS menarik balik tauliah mengajar Zamihan serta membatalkan keahlian beliau sebagai Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor, di bawah peruntukan Peraturan 4 di dalam peraturan sama.

"Tindakan ini adalah susulan satu ceramah disampaikan Zamihan yang mengandungi perkataan bersifat rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja. Tambahan pula, ia disampaikan di Masjid Diraja dan ia tidak sepatutnya berlaku," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, menurut beliau, baginda menitahkan dua perkara harus dilaksanakan dan dikuatkuasakan oleh semua pengurusan masjid serta surau di Selangor.

"Pertama, membuat rakaman video bagi setiap ceramah dan kuliah yang diadakan di seluruh masjid serta surau, bagi merekod dan memantau setiap isi kandungan ceramah supaya peruntukan undang-undang Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dan Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017 dipatuhi.

"Kedua, penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah perlu dihadkan hanya di dalam bangunan masjid serta surau, dan tidak di luar kawasan kecuali laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran.

"Larangan ini bagi memelihara imej agama Islam yang mementingkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya," katanya.

Kata Hanafisah, Sultan Sharafuddin turut bertitah mengingatkan semua rakyat untuk menghormati prinsip utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan demi kestabilan dan keamanan negara.

Jumaat minggu lalu, Harian Metro melaporkan MAIS menjalankan siasatan terperinci mengenai tindakan Zamihan yang didakwa mengkritik institusi diraja dalam satu ceramah agama di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, 7 Oktober lalu.

Zamihan ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada jam 3.50 petang Rabu minggu lalu, kerana disyaki mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam kuliah agama itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Zamihan dipercayai turut menyentuh isu berbaur perkauman yang dikaitkan dengan kedai dobi di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 4:54 PM