Betty bersama tunangnya, Ardy. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Hampir empat tahun bercinta, pelakon Betty Rahmat, 35, selamat melangsungkan pertunangan dengan ahli perniagaan, Ardy Damis, 30, petang hari ini.

Majlis berlangsung di rumah keluarganya di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Betty yang juga adik pengarah dan pelakon Erma Fatima berkata, dia dan Ardy tidak akan bertunang lama dan merancang bernikah pada Januari tahun depan.

"Kami tidak mahu bertunang lama-lama. Walaupun masa agak singkat iaitu hampir tiga bulan untuk membuat persiapan majlis pernikahan, ia bukan satu masalah.

"Saya percaya andai kita merancang perkara ke arah kebaikan pasti Allah akan permudahkan. Untuk majlis pertunangan ini pun ia hanya mengambil masa seminggu," katanya.

Ardy pula akui kalau boleh mahu terus menikah memandangkan sudah hampir empat tahun bercinta.

"Tapi kami memutuskan untuk mengikut adat," katanya.

Sebelum itu Ardy melamar Betty pada 24 September lalu sewaktu menghadiri majlis hari jadi pelakon dan anggota kumpulan De Fam, Azira yang diadakan di Bali, Indonesia.

Lamaran itu dibuat secara kejutan tanpa diketahui Betty dan rakaman detik romantis itu turut dikongsi pasangan terbabit di laman sosial mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 10:00 PM