MOHAMAD Habib dijatuhi hukuman penjara 28 bulan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 28 bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini, kerana mencederakan abang iparnya serta memecahkan cermin belakang kereta mangsa.

Majistret Aizuddin Zolkeply menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohamad Habib Mohamad, 24, mengaku bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan.

Beliau turut mempertimbangkan rayuan tertuduh dan hujah Pegawai Pendakwa Inspektor Ruslan Usman dalam memutuskan hukuman itu.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Habib dituduh dengan sengaja mencederakan Mohamad Khusairy Abdullah, 33, di rumah No 2919, Taman Uda Lorong Uda 5, Jalan Sultanah pada 31 Januari 2016, 1.15 pagi.

Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda dan sebatan, mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan kedua dia didakwa melakukan khianat terhadap kereta Mohamad Khusairy iaitu dengan memecahkan cermin belakang kereta Kelisa milik pengadu menyebabkan kerugian RM350.

Kesalahan itu dilakukan di No 46 Jalan Datuk Kumbar, di sini, pada 13 Oktober 2015, kira-kira jam 2.30 pagi dan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak serta tambahan bayaran pampasan RM3,000 kepada pengadu, jika gagal membayar penjara dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 7:15 PM