IHSAN Polis Diraja Malaysia
Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


LIMA van yang diletakkan di kawasan perumahan Taman Sri Subang, PJS 10, Sungai Way, terbakar dalam kejadian 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata pemilik van yang juga kontraktor menyedari kejadian itu di rumahnya sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

"Selepas api dipadamkan, pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan keterangannya, van itu digunakan untuk membawa pekerja dan diletakkan di tempat sama setiap hari," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kejadian dipercayai bermotifkan dendam berikutan pengadu pernah membuat laporan polis mengenai kejadian pecah masuk stor berdekatan lokasi kejadian, pada 12 Oktober lalu.

“Susulan laporan pengadu berhubung kes pecah masuk itu, seorang suspek sudah ditahan manakala seorang lagi masih bebas.

"Kes kebakaran ini disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 12:11 PM