Abdul Azeez (tengah) melihat pagar elektrik yang dibina bagi menghalang gajah liar memasuki perkampungan penduduk di Kampung Seri Ketengga, Mukim Siong, semalam. FOTO Safuri Kamarudin.
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


PEMASANGAN pagar elektrik antara usaha terkini dilakukan bagi menangani ancaman gajah liar di Mukim Siong, Baling.

Inisiatif itu dilakukan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang memperuntukan RM20,000 bagi memasang pagar elektrik untuk menghalang haiwan itu terus masuk ke perkampungan penduduk dan merosakkan tanaman.

Pagar elektrik sepanjang 3.5 kilometer itu dipasang di laluan yang sering dimasuki kumpulan gajah liar dan dijangka mampu menghalang haiwan itu menghampiri penempatan penduduk.

Antara kampung yang menjadi sasaran gajah liar adalah Kampung Seri Ketengga, Batu Lapan. Tanjung Pari dan Rambong Batu Tujuh.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN ) negeri, Inche Ali Che Aman berkata, kawasan Hutan Ulu Muda dan Gunung Inas menjadi laluan gajah mencari makanan apabila kehabisan makanan di habitat asalnya.

Beliau berkata, gajah liar itu bergerak dalam kumpulan sehingga enam ekor di sekitar hutan itu dan memasuki kira-kira 100 meter ke penempatan penduduk dan memusnahkan tanaman yang menjadi sumber kehidupan penduduk.

“Pokok pisang, kelapa, dokong dan sayuran turut musnah dimakan gajah selain penduduk tidak berani keluar menoreh getah.

“Justeru kita mengambil langkah memasang pagar elektrik bagi menghalang haiwan liar itu masuk sehingga ke penempatan penduduk kerana untuk memindahkan gajah ke habitat asal menelan kos yang tinggi," katanya pada majlis Memasang Pagar Elektrik Menghalau Gajah di Kampung Seri Ketengga, Mukim Siong, semalam.

Hadir, Pegawai Perhilitan Baling, Mohd Nazri Maruddin.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, langkah itu nampak lebih berkesan kerana haiwan itu akan terkesan apabila terkena renjatan elektrik dan tidak menghampiri kawasan kebun penduduk.

“Saya melarang membunuh haiwan itu jadi pelbagai alternatif yang dilakukan oleh PERHILITAN dan penduduk sebelum ini dengan menembak ke hutan dan memasang unggun api.

"Bila kita memasang pagar elektrik haiwan itu tidak berani menghampiri kawasan penempatan penduduk dan berpindah ke hutan lain," katanya.

Azeez berkata, beliau difahamkan kos untuk menangkap dan memindahkan seekor gajah liar ke habitat asal mencecah sehingga RM60,000.

“Jadi dengan memasang pagar elektrik dapat mengurangkan kos berbanding menangkap dan memindahkan haiwan itu.

“Setakat ini tidak ada laporan kejadian tidak diingini berlaku cuma tanaman penduduk musnah dimakan gajah liar," katanya.

Seorang penduduk, Mohd Tarmizi Che Ros, 47, dari Kampung Tanjung Pari berkata, dia yakin pemasangan pagar elektrik itu dapat menghalang kumpulan gajah liar menghampiri penempatan penduduk.

“Kami penduduk berterima kasih kepada kerajaan dan Jabatan Perhilitan yang berusaha menangani masalah dihadapi penduduk.

“Kini rata-rata penduduk tidak berasa bimbang lagi untuk ke kebun mencari rezeki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 12:13 PM